h1

JPJ perketat ujian — Latihan amali memandu ditambah tangani kemalangan maut

Januari 7, 2009

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM dan SHARIZA ABDULLAH

KUALA LUMPUR 6 Nov. 2005 – Lebih banyak ujian amali pemanduan termasuk di litar akan dikenakan kepada pemohon-pemohon lesen memandu pada masa depan dalam usaha mengetatkan pengeluarannya berikutan peningkatan kadar kemalangan maut sejak kebelakangan ini.

Ini bermakna, beberapa penambahan ujian khususnya di litar akan dilakukan bukan setakat ujian mendaki bukit, meletak kereta dan memandu di jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Emran Kadir berkata, prosedur lebih ketat itu dengan tambahan ujian amali di jalan lurus itu akan diperkenalkan di negara ini.

“Mungkin lebih banyak perkara yang akan diuji di litar memandu. Korea umpamanya mempunyai kira-kira 17 ciri-ciri ujian di litar termasuk ujian jalan lurus.

“Semua perkara ini akan dikaji dengan teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa memperketatkan syarat pengeluaran lesen memandu sebagai usaha membendung kemalangan jalan raya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu syarat tambahan mendapatkan lesen memandu diperkenalkan termasuk mewajibkan semua pemohon mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah.

Perdana Menteri juga mahu satu mata pelajaran wajib mengenai pemanduan perlu diwujudkan bagi pelajar menengah atas untuk diajar pada musim cuti sekolah sebagai persediaan untuk mereka mendapatkan lesen memandu.

Kata Emran, antara yang boleh diajar kepada calon pemandu ialah teknik menggunakan brek di pelbagai permukaan termasuk jalan basah, kering, tar, simen dan batu kerikil.

“Saya rasa kita perlu memasukkan elemen ini malah latihan juga boleh diadakan pada waktu malam.

“Pemanduan waktu malam dan siang adalah berbeza, kemalangan juga banyak berlaku pada waktu malam,” katanya.

Sambil menyambut baik saranan Perdana Menteri itu, Emran berkata, JPJ akan melihat secara menyeluruh perkara-perkara atau akta yang perlu dipinda bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum dapat memastikan tarikh pelaksanaan bagi mengetatkan syarat kelulusan mendapat lesen memandu berkenaan dapat dilakukan.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Hanafi Mat Zin pula mencadangkan kerajaan mewajibkan semua pemegang lesen percubaan (P) menjalani satu lagi ujian sebelum layak memohon lesen penuh.

Katanya, ujian itu perlu berkaitan perubahan sikap sebagai satu peringatan semula setelah menjalani tempoh percubaan selama dua tahun.

“Berdasarkan prosedur sekarang, semua pemegang lesen P yang tidak melanggar peraturan layak mendapat lesen penuh setelah genap tempoh dua tahun.

“PIMA sebenarnya telah mengemukakan cadangan ini kepada kerajaan dan berharap ia diteliti untuk pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa penekanan aspek sikap berhemah dalam sukatan ujian memandu masih belum mencukupi kerana ia hanya menyentuh teknik-teknik pemanduan.

“Saya akui apa yang diminta oleh Perdana Menteri masih kurang ditekankan, ia perlu dilaksanakan segera.

“Kita perlu memperbanyakkan perkara berkaitan psikologi, sikap dan personaliti dalam sukatan kerana masih ada banyak ruang kosong yang boleh diperbaiki,” ujarnya.

Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) pula menyifatkan arahan Perdana Menteri itu amat tepat dan wajar dilaksanakan secepat mungkin.

Presidennya, Hamzah Masri berkata, walaupun pekara itu mungkin mengambil masa untuk direalisasikan, ia dilihat sebagai langkah terkini untuk mengurangkan kadar kemalangan.

“Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan ia bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Lagi cepat ia dilaksanakan, lagi bagus,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: