h1

Tragedi Nuri 1991 tidak jejaskan semangat Tan Ban Soon

Januari 7, 2009

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

NAHAS udara yang melibatkan sebuah helikopter di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Banding, Perak pada kira-kira pukul 5.30 petang 11 Jun 1991 merupakan tragedi yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Berita mengenainya menjadi tajuk-tajuk utama akhbar tempatan kerana ia mengorbankan tujuh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kejadian dilaporkan berlaku sewaktu helikopter yang membawa bekalan makanan dari Pangkalan Udara Butterworth itu terhempas sewaktu cuba membuat pendaratan di sebuah lereng bukit kawasan operasi (kira-kira 800 meter dari paras laut dan 30 kilometer di timur laut Grik).

Enam penumpang termasuk juruterbang helikopter itu, Kapten Tan Eng Huat, 36, dilaporkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu Kuartermaster Sarjan T. Balasubramaniam meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu.

Nahas itu mungkin sudah lama dilupakan kita semua kecuali keluarga terdekat mangsa termasuklah famili mendiang Eng Huat.

Suratan atau kebetulan tidak perlu dibincangkan kerana darah keperwiraan seorang anggota tentera biasanya akan diwarisi anak-anaknya.

Seorang anak Eng Huat, Kapten Tan Ban Soon, 23, yang berusia sembilan tahun sewaktu kejadian ngeri itu berlaku meneruskan tradisi bapanya dengan menyarung uniform Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lebih membanggakan ialah beliau muncul sebagai Kadet Terbaik Perkhidmatan Udara Akademi Tentera Malaysia (Atma) sempena Perbarisan Diraja dan Penganugerahan Watikah Tauliah pada Sabtu lalu.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Jamalulai. Ia turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Kata Ban Soon, lokasi majlis itu di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Sungai Besi ternyata mengembalikan nostalgia seisi keluarga kerana mendiang ayahnya turut menggunakan padang yang sama untuk latihan kawad sewaktu bergelar pelajar di MTD.

“Nenek saya sentiasa menceritakan mengenai padang kawad itu kepada saya. Beliau amat bangga dengan penglibatan ayah sebagai anggota tentera.

“Setiap kali berkawad di padang itu, saya dapat merasakan sesuatu. Ia menghidupkan nostalgia dan saya amat bertuah kerana mempunyai pengalaman ini,” katanya.

Beliau yang memiliki wajah tegas tetapi tenang mengakui nahas udara yang mengorbankan ayahnya di Banding tidak pernah memudarkan keinginannya untuk berkhidmat kepada negara dan TUDM.

“Setiap kali menyarung uniform TUDM atau melihat helikopter Nuri, saya dapat merasakan ayah saya berada di sisi.

“Memang saya belum berpeluang untuk menaiki Nuri, namun jika diarahkan saya pasti tidak melepaskannya.

“Saya menyertai TUDM bagi menyambung semangat yang dimiliki ayah. Cuma emak saya, Christine Wong, tidak membenarkan saya menjadi juruterbang pesawat kerana risau tragedi yang sama berulang,” katanya yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.

Ban Soon memberitahu, beliau hanya mengetahui punca sebenar nahas itu kira-kira dua tahun lalu apabila dimaklumkan oleh seorang kawan rapat ayahnya yang ditemuinya sewaktu dia menjalani latihan di Alor Setar, Kedah.

Katanya, sewaktu kejadian dia baru berusia sembilan tahun dan tidak memahami apakah sebenarnya yang berlaku.

Ban Soon hanya dapat mengingat keluarganya menerima kunjungan isteri-isteri pegawai tentera sebaik sahaja nahas itu diketahui.

“Sewaktu menuntut di Atma barulah saya benar-benar memahaminya. Sejak itu saya sentiasa berbangga dengan pengorbanan ayah.

“Sahabat-sahabat ayah saya yang pernah ditemui selalu bercerita mengenainya. Kata mereka ayah saya mudah bergaul dengan sesiapa sahaja termasuk anggota bawahan,” katanya.

Sikap mendiang ayahnya itu akan dijadikan sebagai satu panduan untuk mencapai kecemerlangan bersama-sama TUDM.

Pada masa yang sama, Ban Soon turut melahirkan rasa bangga kerana ditauliahkan sebagai Kapten dalam usia yang muda berbanding ayahnya yang terpaksa bermula dari bawah dan mengambil masa selama sembilan tahun untuk menjadi Kapten.

“Kami berdua menyumbang kepada negara dengan cara yang berbeza. Saya merancang untuk kekal bersama TUDM selama yang boleh kerana perkembangan karier dalam TUDM adalah terbuka luas.

“Dengan semangat ayah, saya yakin saya dapat menyumbang sesuatu kepada negara,” tegasnya.

Tinggalkan komen