h1

Universiti Pertahanan wawasan Atma

Januari 7, 2009

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

PADA 1995 sewaktu Akademi Tentera Malaysia (Atma) ditubuhkan, pasukan pengurusannya dikatakan terpaksa ‘merayu’ kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar menyertai akademi itu.

Syarat kemasukan Atma juga dipermudahkan bagi menimbulkan minat calon-calon terbabit dan percaturan itu ternyata berjaya menarik kumpulan pelajar pertamanya.

Menginjak tahun ke-10 penubuhannya, senario itu sekadar menjadi satu memori kepada pasukan pengurusan Atma. Kini mereka tidak menang tangan menguruskan permohonan kemasukan yang diterima.

Masakan tidak, segalanya ditanggung beres. Tiada yuran pengajian dikenakan bahkan pelajarnya diberi elaun bulanan yang lumayan serta pelbagai faedah lain. Dan yang paling penting ialah mendapat kontrak berkhidmat sepuluh tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat Kapten atau yang setaraf.

Justeru, kelayakan akademik tidak lagi menjadi kompromi Atma dan hanya yang terbaik berhak mendapat tempat di akademi itu.

Tambahan pula, negara sememangnya memerlukan pegawai tentera terlatih daripada segenap aspek sebagai persediaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman terhadap kedaulatan negara.

Bagaimanapun, bagi Komandan Atma, Mejar Jeneral Datuk Ir. Ismail Samion, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk memantapkan status Atma sebagai ‘kilang’ melahirkan pegawai ATM.

Katanya, antara perkara utama yang digariskan pihaknya ialah wawasan untuk menaik taraf Atma sebagai universiti pertahanan yang turut menawarkan program kepada orang awam.

Jelasnya, wawasan itu tidak boleh digerakkan dengan tergesa-gesa sebaliknya ia perlu dibuat secara berperingkat dengan menjadikan Atma sebagai sebuah kolej universiti terlebih dahulu.

“Tahap pendidikan Atma sekarang adalah baik. Kami menjalankan program mengikut standard dan kurikulum yang digubal Universiti Teknologi Mara (UTM).

“Ia bagaikan program ijazah berkembar dengan pengkhususan akademik dan ketenteraan. Kedua-dua bahagian itu mempunyai jam kredit yang seimbang.

“Matlamat yang terkandung dalam wawasan kami pula lebih meluas iaitu menggabungkan elemen ketenteraan dalam sukatan program akademik pelajar, contohnya undang-undang tentera, logistik dan teknologi pertahanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, pada masa ini Atma tidak mencampuri kurikulum akademik kerana ia dijalankan sepenuhnya oleh UTM.

Berdasarkan prestasi semasa Atma, Ismail berpendapat institusi itu layak untuk menggubal wawasan menjadi sebuah universiti penuh pada masa akan datang.

Beliau berkata, jika ia menjadi realiti, program-program yang ditawarkan boleh disesuaikan dengan keperluan pertahanan negara.

“Dalam jangka panjang, kami berharap semua pegawai tertinggi ATM seperti Panglima dan Panglima Angkatan Tentera adalah lepasan Atma.

“Pencapaian itu adalah satu kepuasan bagi saya. Semoga saya dipanjangkan umur untuk menyaksikan saat-saat bersejarah itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai kualiti pelajar yang dilahirkan Atma, Ismail enggan mendabik dada.

Katanya, persoalan kualiti adalah perkara yang subjektif kerana ia bergantung sepenuhnya kepada kehendak dan sikap para pelajar.

“Keupayaan seseorang hanya boleh dilatih hingga ke peringkat tertentu. Untuk melangkaui sempadan itu, ia bergantung kepada diri pelajar sendiri.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Atma telah memberikan latihan ketenteraan yang secukupnya serta memenuhi piawaian ATM,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya sebagai Komandan Atma, Ismail secara jujur mengakui beliau menemui kepuasan sepanjang mencurah bakti kepada ATM.

Setiap kali melihat pelajar Atma menamatkan pengajian, beliau merasakan itulah sumbangannya yang amat bermakna bagi mempertahankan kemerdekaan negara.

“Bayangkan anda mempunyai ribuan anak remaja yang mempunyai perangai dan kehendak yang berbeza.

“Cabaran getir ialah bagaimana untuk mengubah mereka menjadi manusia yang berdisiplin dan melaksanakan arahan yang diberi secara berkumpulan kerana sikap ini amat penting di medan perang,” katanya.

Tinggalkan komen